Selasa, 7 Jun 2011

Global Outreach Program UTM ke Thailand

Pada 11- 17 Februari 2011 yang lalu, seramai 30 orang staf bukan akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari pelbagai Bahagian di Pejabat Harta Bina (PHB) Kampus Johor Bahru dan UTM International Campus iaitu Unit Kenderaan, Unit Kampus Ekopelancongan dan juga Unit Landskap serta beberapa Pusat Tanggungjawab yang lain iaitu Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEM& A), Bahagian Keselamatan, Pejabat Pendaftar telah menyertai Global Outreach Program (GOP) ke Negara "Gajah Putih", Thailand. Menerusi lawatan kerja GOP pada kali ini , rombongan telah melawat Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Thailand. Delegasi lawatan diketuai oleh En. Zaidi Hj. Mohmod dan dibantu oleh En. Zakaria bin Ahmad. Rombongan GOP PHB UTM ke Thailand (Universiti Chulalongkorn) telah dibiayai sepenuhnya oleh UTM.
Berikut adalah coretan ringkas mengenai program ini sepanjang lawatan kerja GOP ini diadakan:
11 Februari 2011 ( Jumaat )
i. Kami telah diminta untuk berkumpul di hadapan Unit Kenderaan, Pejabat Harta Bina pada pukul 10.00 pagi untuk ke KLIA memandangkan kami perlu berada di sana lebih awal sebelum penerbangan pada jam 10.20 malam. Sebelum bertolak, kami mengadakan sesi bergambar dan bacaan doa oleh Tn. Hj. Akashah. Pelepasan dilakukan oleh Pengerusi Kelab Kenderaan Universiti, iaitu Tn. Hj. Amzah bin Osman.
ii. Pada jam 11.00 pagi, kami berhenti di IKBN Pagoh untuk menunaikan solat Jumaat dan perjalanan diteruskan jam 2.15petang ke KLIA.
iii. Setibanya di KLIA jam 6.00 petang, kami berkumpul dan menanti kedatangan seorang staf dari UTM International Campus yang juga peserta rombongan GOP ini, seterusnya melaporkan diri di kaunter penerbangan jam 9.00 malam dengan menaiki penerbangan Royal Jordanian Airlines (Airbus 320). Perjalanan kami mengambil masa 1 jam 50 minit.
iv. Setelah kami tiba Lapangan Terbang Suvarnabumi Bangkok, kami diperkenalkan dengan pemandu pelancong di sana Encik Paul wakil dari Paul Travel Agency. Beliau memaklumkan waktu jarak lewat 1 jam dari tanahair. Kami dibawa dengan menaiki bas high deck yang selesa menuju ke hotel penginapan kami. Jarak perjalanan dari lapangan terbang ke Hotel Ecotel Bangkok adalah 28km dan ini memberi peluang kepada Encik Paul menerangkan serba-sedikit tentang sejarah dan keluasan Thailand. Kami tiba di hotel pukul 1.30 pagi.
12 Februari 2011 ( Sabtu )
i. Hari pertama kami di Bangkok dimulakan seawal jam 7.00 pagi kerana jarak perjalanan mengambil masa 2 jam ke Damnoensaduak Floating Market, salah sebuah pasar terapung terkenal yang wajib dilawati oleh wisatawan asing yang berkunjung ke Thailand. Menariknya di sini, kami berpeluang menyusuri sungai dengan menaiki sampan dengan disertai jurupandu. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan memandangkan had maksimum untuk menaiki sebuah sampan adalah antara 5-7 orang. Sepanjang menyusuri sungai tersebut, kami dapat melihat suasana perniagaan berkonsepkan ‘pasar terapung’ yang semulajadi terdapat di sini. Kebanyakan perniagaan yang dijalankan adalah barangan cenderahati, hasil kerja kraftangan penduduk tempatan, hasil kitar-semula dan pertanian. Kami telah disarankan oleh Encik Paul untuk melakukan tawar-menawar terlebih dahulu bagi mendapatkan harga yang lebih berpatutan dan relevan setanding dengan barangan yang dibeli kerana harga yang ditawarkan amat tinggi.
ii. Kemudian, kami dibawa ke Royal Thai Handicraft Center untuk melihat kaedah-kaedah ukiran kayu dihasilkan dan berkunjung ke bilik pameran hasil ukiran kayu. Seterusnya, kami ke Dusit Leather yang merupakan pusat jualan barangan 100% kulit yang diiktiraf oleh Kerajaan Thailand. Antara kulit binatang yang digunakan untuk menghasilkan tali pinggang, dompet dan juga tas tangan adalah terdiri daripada kulit buaya, ikan pari, gajah, lembu, kerbau dan ular. Walau bagaimanapun, barangan kulit daripada gajah telah dihapuskan sejajar bagi menyahut seruan Kerajaan Thailand khususnya Maharaja mereka yang mahu supaya haiwan gajah dilindungi oleh semua rakyat jelata. Apa yang menarik dalam lawatan kami di Thailand ialah, semua rakyat di sini amat menghormati Maharaja Thailand, Bumibol Adulyadev atas keperibadian baginda yang amat mengutamakan semua rakyat jelata dalam setiap dasar pentadbiran di Thailand di mana bidang pertanian merupakan tunjang utama dasar ekonomi di Thailand. Jadi tidak hairanlah sekiranya segala apa yang diperintahkan oleh Maharaja Thailand pastinya akan dipatuhi secara sukarela oleh rakyat Negara gajah putih ini.
iii. Pukul 4.00 petang, kami dibawa berkunjung ke MBK Plaza. Plaza ini merupakan sebuah pusat membeli-belah yang terkemuka di bandar Bangkok dan merupakan salah satu aset milik Universiti Chulalongkorn. Plaza ini juga boleh digelar sebagai Plaza Sungei Wang di Kuala Lumpur kerana setiap barangan yang dijual amat berpatutan dan boleh ditawar- menawar.
13 Februari 2011 ( Ahad )
i. Lawatan kami pagi ini dimulakan dengan melawat pusat pembuatan batu permata yang tersebar di dunia yang dikenali sebagai ‘Gems Jewel Gallery’. Di sini, kami diberi penerangan mengenai sejarah penemuan dan penghasilan batu permata dan jenis-jenis batu permata. Usai menyaksikan tayangan penghasilan batu permata, kami di bawa melawat ke kilang pembuatan barang hiasan diri seperti cincin, gelang dan rantai dan berpeluang membeli hasil seni tersebut dengan harga yang amat berpatutan.
ii. Seterusnya, pada pukul 10.30 pagi, kami melawat ke Safari World & Marine Park, Bangkok. Di taman ini, pengunjung boleh merasai sendiri seperti berada di dalam hutan kerana dikelilingi dengan pelbagai jenis haiwan yang dilepas bebas berkeliaran di kawasan tersebut. Pengunjung dimestikan sentiasa berada di dalam kenderaan dengan tujuan memastikan keselamatan terjamin. Selain itu, dekorasi bangunan dalam taman ini juga amat unik dan semua dinding serta pintu dihiasi dengan mural yang berkonsepkan hutan belantara termasuklah di dalam tandas.
iii. Aktiviti hari ketiga diakhiri dengan kegiatan membeli-belah di FBT. FBT merupakan gedung jualan barangan dan pakaian sukan berjenama seperti Nike, Adidas, Puma dan lain-lain dan turut dikenali oleh masyarakat Malaysia. Kebetulan pada hari tersebut juga turut terdapat pasar malam berhadapan FBT, di mana konsep jualannya lebih mirip ‘pasar karat’ yang terdapat di Bandar raya Johor Bahru di Malaysia. Kebanyakkan peniaga di sini adalah orang tempatan dan mereka agak kurang arif berbahasa Inggeris dan menyebabkan kesukaran dalam urusniaga jual-beli. Meskipun demikian, apa yang menarik di Thailand, urusan jual-beli turut menggunakan kalkulator untuk memudahkan komunikasi antara penjual dan bakal pembeli disebabkan faktor kekangan bahasa ini.
14 Februari 2011 ( Isnin )
i. Pada waktu pagi, bagi melengkapkan objektif dan tujuan sebenar GOP kami ke Thailand, kami dibawa melawat ke Universiti Chulalongkorn yang berada di tengah-tengah bandar Bangkok. Univeristi Chulalongkorn mula ditubuhkan seawal tahun 1917 dan merupakan Universiti yang pertama ditubuhkan di Thailand. Seni bina bangunan di Universiti ini berkonsepkan moden dan tradisional dan warna korporatnya ialah warna merah jambu. Pemilihan warna merah jambu adalah berdasarkan warna hari kelahiran Raja Chulalongkorn. Universiti Chulalongkorn mempunyai 19 buah fakulti dan menawarkan 450 program akademik serta lebih 80 program daripadanya adalah program antarabangsa.
ii. Setibanya di sana, kami disambut oleh Puan Somali dan dibawa ke auditorium bagi sesi pengenalan dan sesi dialog. Sesi dialog ini dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Sompong Sirisoponsilp dan turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Veerasak Likhitruangsilp. Sepanjang lawatan pada sesi tersebut, kumpulan kami telah mengajukan beberapa soalan yang berkaitan bidang tugas peserta iaitu Kenderaan, Keselamatan, Rekreasi, Pentadbiran, Pengurusan Perumahan dan juga Hal Ehwal Mahasiswa (Sila rujuk lampiran 3). Setelah selesai sesi pengenalan dan dialog, kami dibawa melawat kawasan sekitar Universiti tersebut dengan menaiki bas memandangkan kawasan Universiti agak besar dan jarak antara bangunan adalah jauh. Melalui pemerhatian kami, Universiti Chulalongkorn mempunyai banyak bangunan yang disewakan dan turut dikomersialkan seperti komplek membeli-belah dan secara tidak langsung dapat menjana pendapatan kepada pihak Universiti.
iii. Apa yang menarik di sini ialah mahasiswa-mahasiswi di Universiti ini diwajibkan memakai pakaian seragam ketika berada di kawasan Universiti. Pihak Universiti tidak membenarkan para pelajar membawa kenderaan sendiri kerana telah menyediakan 2 jenis perkhidmatan bas iaitu bas untuk laluan dalam Universiti dan laluan luar Universiti. Selain itu, pelajar juga boleh menyewa basikal Universiti secara percuma untuk bergerak di dalam kawasan Universiti seperti inisiatif yang telah dilakukan oleh UTM.
iv. Lawatan kami di Universiti Chulanlongkorn berakhir pada pukul 12.00 tengah hari dengan acara penyampaian cenderahati antara Universiti Teknologi Malaysia dengan Universiti Chulalongkorn.
v. Perjalanan kami hari ini diteruskan ke pekan Pattaya yang sememangnya terkenal di serata dunia sebagai sebuah pusat pelancongan terkenal jika berkunjung di Thailand. Perjalanan ini mengambil masa lebih kurang dua jam dari bandar Bangkok. Dalam perjalanan ke Pattaya, kami singgah di Highland Bee Farm yang merupakan pusat jualan produk madu di Thailand. Di sini kami diberi taklimat berkaitan jenis-jenis madu dan khasiat serta kegunaan madu. Antara produk madu yang laris dijual ialah Royal Jelly (susu lebah), Thepprasit Honey 100% (madu ekstrak dari tumbuhan bunga) dan Bee Pollen (madu sari dari bunga liar). Peserta juga turut diberi peluang untuk merasai sendiri jus dan ekstrak madu Thepprasit Honey.
vi. Kami tiba di Hotel Golden Beach Pattaya pukul 3.00 petang dan menikmati makan malam pada pukul 6.00 petang di Restoran Muslim di bandar Pattaya. Selesai makan malam, kami dibawa menyaksikan Pertunjukan Alkazar pada jam 8.00 malam. Pertunjukan ini diiktiraf oleh Kerajaan Thailand dan juga Kementerian Pelancongan Thailand dan pertunjukan ini menampilkan barisan penari yang terdiri daripada golongan transeksual. Seiring dengan konsep kesamarataan oleh pemerintah Thailand, menerusi program sebegini, penonton dapat melihat bagaimana golongan transeksual mencari rezeki di negara ini secara sihat. Dalam pertunjukan ini, kami turut disajikan dengan pertunjukan dari pelbagai negara-negara ASEAN dan di serata belahan dunia termasuk dari Malaysia iaitu lagu ‘Cindai’ nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.
15 Februari 2011 ( Selasa )
i. Pada jam 7.15 pagi, kami berkumpul di lobi hotel untuk menaiki ‘speed-boat’ pada jam 7.30 pagi ke Coral Island Pattaya. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah sebentar di kelong ‘para glider’. Caj yang dikenakan untuk sukan ini hanya 350 bath (RM 35.00). Perjalanan diteruskan ke Coral Island Pattaya dan di sana kami dapat melihat begitu ramai pelancong dari seluruh dunia berkunjung ke sini untuk berehat dan mandi-manda.
ii. Pada sebelah petang, kami di bawa ke Nongnooch Village Pattaya untuk melihat pertunjukan tomoi berorientasikan komedi, tarian kebudayaan dan pertunjukan gajah.
16 Februari 2011 ( Rabu )
i. Aktiviti pagi ini dimulakan dengan sesi melawat ke Pattaya Floating Market, yang berkonsepkan kedai terapung buatan manusia dan kebanyakan peniaga di sini juga turut menawarkan jualan cenderahati dan hasil kraftangan masyarakat tempatan Thailand.
ii. Kemudian, kami dibawa melawat ke Silverlake Garden yang merupakan taman landskap terindah di kaki gunung yang amat memukau pemandangannya, bersebelahan dengan ladang anggur. Kawasan ini dipunyai oleh seorang hartawan perempuan terkenal dari Thailand. Di gunung berhampiran, terdapat satu ukiran batu Buddha yang disaluti emas hasil dermaan salah seorang Maharaja Thailand.

17 Februari 2011 ( Khamis )
i. Hari ini merupakan hari terakhir kami di Thailand. Lawatan terakhir kami ialah di S.K. Natural Herb Shop. Di sini kami diterangkan tentang beberapa jenis herba dan juga ubat-ubatan berkonsepkan herba yang telah dikomersialkan dalam bentuk kapsul. Kami juga turut diberi minuman herba ketika mula memasuki bangunan tersebut dan disambut dengan mesra oleh kakitangan di sana.
ii. Pada pukul 12.00 tengah hari, kami tiba di lapangan terbang Suvarnabhumi, Bangkok dan seterusnya bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 3.20 petang waktu Thailand. Perjalanan mengambil masa 1 jam 50 minit, dan kami diba di KLIA pada pukul 6.30 petang waktu Malaysia. Setibanya kami di KLIA, bas UTM sedia menanti kepulangan kami dan rombongan GOP kami selamat di UTM pada sekitar 12.30 tengah malam.
SEBELUM LAWATAN


SEMASA LAWATAN

Damnoensaduak Floating Market
Royal Thai Handicraft Center
Safari World & Marine Park
Universiti Chulalongkorn
Highland Bee Farm
Coral Island Beach, Pattaya
Nongnooch Village Pattaya
Silverlake Garden


PASCA LAWATAN


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...